Hikayat Bunga Raya Emas…

 

HIKAYAT BUNGA RAYA EMAS : BAHANA PEWARIS TAKHTA

Kayu berselumbar perlu dipahat,

Kayu dipahat atas batu,

Luka di luar boleh dilihat,

Luka di hati siapa yang tahu…

BERMULANYA SANGKAR ADIKARA

K

esedihan yang melanda hatinya pada 5 Mei itu tidak mampu dilupakan sampai bila-bila pun. Ibu yang dikasihi telah tiada lagi, namun dia tidak mampu berada di sisi ibunya pada detik akhir, kerana keadaan yang tidak mengizinkan. Keadaan yang terpaksa diterima dengan hati yang gundah.

“Abang, ibu sakit. Abang tak nak jenguk ibu?”

“Abang, ibu kata ibu rindu abang…”

“Abang, ibu tak mampu nak makan sendiri dah. Abang tak nak tengokkan ibu?”

Begitulah bunyi warkah yang acapkali dikirimkan oleh adik tiriku. Dasa, anak tunggal bapa tiriku itu tidak putus-putus mengirim sekurang-kurangnya selembar warkah seminggu, mengkhabarkan kepadaku tentang keadaan keluargaku dan dirinya juga. Saat akhir buat ibuku, aku hanya mampu mengalirkan air mata dan mengerti bahawa kasihnya telah terkubur buat selama-lamanya, bersama nafas terakhirnya di muka bumi ini.

Aku bukannya mengabaikan ibuku, jauh sekali hendak menjadi anak derhaka. Jauh di lubuk sanubari, aku tidak rela untuk menerima hakikat yang sebenar. Hakikat yang telah memberitahu kepada diriku bahawa aku bukannya diriku yang sebenar. Aku cuma seorang yang tidak sepatutnya wujud di sisi ibuku, mahupun dalam keluargaku kini. Sebuah hakikat yang terlalu pedih untuk aku yang sangat menyayangi keluargaku, yang sanggup melakukan apa sahaja untuk melindungi mereka.

“Alaf, ibu minta maaf, ibu tak mampu memberikan kebahagiaan yang sejati kepada Alaf. Maafkan ibu kerana terlambat mengetahui mengenai hakikat ini. Ibu tak sanggup kehilangan Alaf, tetapi ibu tak mampu lindungi putera ibu lagi.”

Ibuku terdiam seketika. Aku dapat melihat lantai yang bertompok-tompok basah kecil yang semakin banyak. Air mata ibuku jatuh berderai rupa-rupanya. Aku tidak sampai hati membiarkan ibuku begitu.

“Ibu, Alaf tak mahu pergi kalau ibu bersedih hati… Alaf…”

“Tidak, Alaf mesti pergi. Kita memang perlu berpisah mengikut takdir masing-masing. Kita akan berpisah Alaf, kalau bukan sekarang pun, nanti perpisahan pasti akan terjadi. Masa tu, Alaf tak boleh keluar daripada tempat ni. Mungkin juga Alaf akan dicemuh kerana lebih dikenali masyarakat. Alaf juga akan menerima cemuhan dan kutukan, atas perkara yang tidak pernah Alaf pinta. Tapi, Alaf tak boleh pula jumpa ibu lagi. Kita masing-masing telah diikat janji yang perlu kita patuhi. Faham!”

“Tapi, ibu…”

“Tiada apa-apa yang perlu kita kesal sekarang. Alaf perlu keluar sebelum terlambat. Jangan risau, ibu faham. Ibu janji kepada Alaf, walau apa pun terjadi, walaupun Alaf hilang kedudukan, atau apa jua pilihan Alaf, Alaf tetap anak ibu buat selama-lamanya. Darjat hanya menjadi pengukur luaran sahaja. Tetapi, bukan hati kita Alaf.”

“Ibu, saya mengerti. Kita takkan berjumpa lagi lepas ni. Buat selama-lamanya.”

“Ibu pasti, kita memang tak boleh jumpa lagi. Jangan jumpa ibu walaupun apa pun terjadi kepada ibu.”

Waktu itu, wajah ibu mendung. Matanya berkaca-kaca. Pipinya basah dengan mutiara kesedihan. Memang hanya ibu sahaja yang memahami keadaan sebenar. Beliau memeluk aku erat-erat. Beliau mencium aku sepuas-puasnya. Ciumannya untuk kali terakhir kepada aku, sebagai seorang ibu. Aku juga begitu.

Semasa aku melangkah keluar daripada mahligai keluargaku, aku tidak nampak wajah ibu. Pemergianku tak diiringi keluarga sendiri. Semenjak itu, aku terus melangkah pergi dan tidak berpaling lagi. Pergi meninggalkan sangkar sebuah adikara…

KISAH PERTAMA : PUTERA YANG SETIA

“D

asa, beta hendak lihat laporan bulanan cukai negara. Bilakah tuan hamba boleh sediakan?”

“Tuanku, patik harap tuanku boleh meneliti laporan bulanan cukai negara yang patik telah letakkan bersama dengan laporan kewangan yang patik telah serahkan kepada tuanku semalam.”

“Tuan hamba telah serahkan kepada beta? Beta nampaknya sudah terlupa bahawa semalam beta ada memperoleh kedua-dua laporan tersebut.”

Kemudian, suasana balairung sepi. Sultan bermuka tegas. Menteri yang menghadap baginda menundukkan pandangan ke bawah sambil duduk.

“Masakan hamba boleh mempersoalkan menteri sendiri? Beta tahu tuan hamba ni tak pernah culas membuat pekerjaan. Beta sengaja menguji tuan hamba hari ni,” ujar sultan seraya tersenyum sumbing.

Menteri hanya tersenyum mendengar titah sultan. Sudah maklum benar tentang tabiat pemerintah negeri Prahara Emas ini. Sentiasa ceria dalam ketegasan semasa memerintah. Namun demikian, baginda merupakan pemimpin yang disegani oleh semua rakyat. Negara makmur, rakyat hidup aman dan harmoni, kunci kepada sebuah pemerintahan yang unggul.

Petang itu, Adi Dasa dipanggil menghadap sultan.

“Anakanda Dasa, penat lelahkah hari ini? Ayahanda tak menyusahkan?”

“Untuk apa anakanda mengeluh yang bukan-bukan. Bukannya anakanda pemerintah negeri ini.”

Taktala Sultan Adi Kiasi dan Adi Dasa dalam urusan rasmi kerajaan, maka panggilan rasmi yang digunakan. Etika dan peraturan istana merupakan keutamaan dalam segala urusan istana, walaupun melibatkan kerabat diraja dan saudara sendiri. Kepatuhan dan pegangan sultan yang kuat terhadap perlembagaan jugalah menyebabkan seisi pelusuk Prahara Emas turut mencontohi dan menuruti sikap pemerintah mereka.

“Ayahanda tak kisah kalau anakanda mahu rehatkan diri,” balas Sultan Adi Kiasi. Baginda seolah-olah mengerti dengan keadaan yang dialami oleh putera tunggalnya itu, sama seperti keadaannya semasa sebaya dengan Adi Dasa kini. Walaupun usia Adi Dasa baru menjangkau 17 tahun, dia terpaksa memikul tanggungjawab sebagai Menteri Kewangan negeri Prahara Emas. Ini disebabkan oleh Perlembagaan Prahara Emas yang telah ditetapkan sejak zaman moyangnya lagi bahawasanya seluruh pewaris takhta pemerintah tanpa mengira darah asal pemerintah sendiri, mahupun bukan darah daging pemerintah, tetapi telah menjadi keluarga pemerintah dikehendaki memegang salah satu jawatan penting sebagai pegawai kerajaan apabila usianya telah mencecah 15 tahun. Perkara sedemikian telah ditetapkan dalam perlembagaan dengan tujuan yang satu, iaitu melatih kemahiran kepimpinan kepada pewaris takhta yang bakal ditabalkan sebagai pemerintah Prahara Emas apabila tiba waktunya.

“Ayahanda usah risaukan anakanda. Anakanda masih lagi terdaya melakukannya. Nampaknya ayahanda tak yakin dengan anakanda?”

“Ayahanda tak meragui kemampuan dirimu Dasa. Cuma ada ketikanya seseorang manusia itu perlukan waktu yang terluang. Anakanda faham?”

Dasa tersenyum lebar. Dia sememangnya menantikan saat ini. Waktu senggang untuk diri sendiri. Ini bukanlah membawa maksud dia berasa penat dengan tugasnya sebagai seorang pegawai kanan kerajaan, namun adakalanya jiwa remajanya bukan semata-mata untuk tugas-tugas besar sebegini, bahkan terdapat perkara lain yang turut ingin dicuba.

“Kalau begitu, ayahanda tak kisah kalau anakanda berehat beberapa hari?”

“Apa perlu dikisahkan? Tapi, nampaknya anakanda Dasa hendak berehat lebih lama nampaknya. Ayahanda lepaskan Dasa untuk sebulan, bagaimana?”

Sultan Adi Kiasi hanya tersenyum melihat reaksi puteranya itu. Adi Dasa terlopong mendengar titah baginda. Mengapa baginda melepaskannya untuk tempoh yang agak lama kali ini? Pasti ada maksud yang tersirat.

“Maafkan Dasa. Ayahanda, anakanda tak boleh dilepaskan terlalu lama. Bagaikan seekor helang peliharaan, tak boleh dilepaskan terlalu lama, dikhuatiri akan berubah menjadi burung yang liar. Ia perlu pulang kepada tuannya apabila sampai suatu tempoh yang tidak terlalu lama. Ayahanda, anakanda pohon untuk dilepaskan sekadar seminggu. Itu pun sudah memadai. Anakanda sudah bertanggungjawab kini. Walaupun ada Ketua Pegawai Kewangan, kementerian ini masih memerlukan anakanda sebagai pentadbir utama.”

Sultan Adi Kiasi hanya melihat anaknya berbicara. Nampaknya, putera tunggalnya itu telah berfikir secara matang. Sudah mempunyai rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri dan terhadap perkara yang lebih penting. Tahu membezakan kepentingan diri sendiri dan kepentingan bersama pihak lain. Mampu memandang jauh ke hadapan. Salah seorang pewaris yang mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa. Seorang bakal pemimpin yang boleh diharapkan.

“Anakanda sudah dewasa!” bisik hati kecil baginda.

“Cuma boleh anakanda minta perkenan untuk sesuatu kepada ayahanda?”

“Apa jua ayahanda sanggup, bergantung kepada apa permintaan kepada anakanda.”

Dasa telah melangkah keluar dari istana. Berpakaian seperti orang kebanyakan, dia keluar bersendirian ke pinggirkota. Dia mencari sebuah penempatan kecil yang dihuni kira-kira 80 penduduk. Sebuah pekan kecil di pinggirkota. Dia berjalan sambil menggenggam sebuah harapan. Harapan untuk menemui orang yang tersayang.

Setibanya disana, dia mencari sebuah teratak kecil yang berwarna kuning cair. Bumbung berwarna coklat tua. Akhirnya, dia berjaya menjumpainya.

KISAH KEDUA : SEBUAH PERTEMUAN

S

iapa akan menyangka, di sebalik pertemuan akan berlaku perpisahan? Siapa akan meramalkan perkara yang sepatutnya berlaku, tidak menjadi seperti dirancang? Siapa tahu apa yang bakal berlaku? Tiada siapa yang tahu. Hanya kuasa yang Maha Mengetahui yang tahu dan menentukan apa yang bakal berlaku.

“Bonda, ampunkan anakanda. Anakanda gagal menemui kekanda.”

Pewaris takhta Prahara Emas, Putera Darma Adi Dasa berada di sisi Permaisuri Istikrar Nuraga yang terlantar lesu di pembaringan baginda. Baginda telah lama gering, namun semenjak dua purnama kebelakangan ini, penyakit baginda nampaknya telah membataskan pergerakan baginda.

“Anakanda, bonda sudah banyak kali berpesan, jangan dicari kekanda lagi. Sudah bersumpah takkan datang lagi.”

“Tapi, bondakan gering, kalau kekanda tahu, pasti dia akan kembali.”

Permaisuri hanya mampu memerhatikan puteranya yang satu ini. Keazamannya untuk mencari abangnya yang telah pergi meninggalkan istana semenjak dua tahun yang lalu sangat tinggi. Perasaan keibuannya tersentuh, tetapi baginda sendiri menyedari bahawa sumpah yang dilafazkan haruslah dipatuhi. Tiada tolak ansur. Tiada pertimbangan yang mampu dilakukan kerana sebarang pelanggaran terhadap sumpah akan memberi kesan yang tidak baik terhadap orang yang melafazkan sumpah.

Dua puluh empat purnama yang lalu, pemerintah negeri Prahara Emas, Sultan Adi Kiasi telah mengulangi sejarah moyang baginda yang pernah menggugurkan gelaran pewaris takhta secara rasminya daripada salah seorang kerabat diraja yang sanggup membelakangi kerajaan dengan memberi maklumat sulit negara kepada musuh negara. Tindakan moyang baginda sememangnya patut menjadi pengajaran dan iktibar kepada semua pihak agar tidak menjadi pengkhianat negara, dan hukuman boleh dijatuhkan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira darjat dan kedudukan. Meskipun begitu, sultan telah menggugurkan gelaran salah seorang putera baginda bukan dengan alasan sedemikian, bahkan putera baginda merupakan salah seorang kerabat diraja yang paling murni budi pekertinya.

“Setelah mendapat pertimbangan dan perkenan Majlis Tertinggi Diraja Prahara Emas, maka beta selaku pemegang kuasa utama Majlis Tertinggi Diraja Prahara Emas, mengisytiharkan bahawasanya, Putera Mahkota Nusantara, mulai saat dan ketika ini, telah digugurkan jawatan sebagai Menteri Pertahanan Luar Prahara Emas. Beta juga mengisytiharkan bahawa Putera Nusa Alaf telah digugurkan gelaran sebagai Putera Mahkota Nusantara, sekaligus hak beliau sebagai pewaris ke-2 takhta negeri Prahara Emas terbatal serta merta. Titah beta ini beta ikat sebagai sumpah dan janji beta, kerajaan beta, dan kerabat diraja Prahara Emas kepada pihak Putera Nusa Samudera Alaf, yang dikehendaki mematuhi titah beta ini untuk selama-lamanya,” titah Sultan Adi Kiasi semasa upacara pembatalan gelaran dan hak pewaris takhta bagi putera baginda yang paling tua.

Setelah baginda menurunkan titah dan perintahnya, baginda pun menitahkan pegawai-pegawai kanannya agar membawa keluar Putera Nusa Samudera Alaf yang sedang duduk melutut dan tunduk mendengar titah baginda daripada balairung seri dengan serta merta. Ini disebabkan oleh mana-mana putera yang telah mencapai umur matang dan tidak menjadi pewaris takhta tidak boleh bersemayam bersama-sama sultan di istana pemerintah. Sewaktu satu-satunya bekas pewaris takhta yang bukan merupakan darah daging baginda meninggalkan balairung seri, sekaligus meninggalkan perkarangan istana, jiwa baginda dihimpit rasa sayu. Bagaimanakah hidup putera baginda di luar nanti? Tidakkah putera baginda terpaksa bersusah-payah semula? Namun, baginda sendiri tidak berniat melakukan demikian, iaitu menghalau puteranya itu dari istana, meskipun Nusa Samudera Alaf bukanlah zuriat baginda sendiri, bahkan Alaf merupakan anak tiri baginda. Walaupun tindakan baginda itu merupakan tindakan terhormat dan tidaklah sampai memalukan institusi beraja dan Alaf sendiri, namun tindakan baginda itu bukanlah dikehendaki oleh baginda sendiri. Baginda sendiri amat menyayangi anak tirinya, sehinggakan apa jua kehendak puteranya itu pasti akan ditunaikan, termasuklah permintaan ganjil yang menyebabkan baginda terpaksa bertindak sedemikian pada waktu itu.

“Tuanku, patik mohon ampun atas segala kekhilafan patik terhadap tuanku. Patik juga mohon ampun kepada Permaisuri dan Putera Mahkota Darmabakti atas segala kekhilafan patik. Segala budi tuanku akan patik kenang hingga ke akhir hayat patik,” sembah Nusa Samudera Alaf kepada Sultan Adi Kiasi buat kali terakhir sebagai seorang putera raja.

Beberapa purnama kemudiaan…

“Anakanda, apabila anakanda menemui kekanda Alaf, sampaikan salam sayang bonda kepadanya.”

“Baiklah bonda,” maka tangan kedua-dua anak beranak itu tergenggam erat.

“Itulah pesanan akhir ibu kepada dirimu abangku. Ke mana engkau telah membawa diri? Penat saya mencari, rupa-rupanya kau masih menunggu di sini, sama seperti sedekad yang lalu,” ujar Putera Mahkota Darmabakti, Darma Adi Dasa.

“Ya, abang tak ke mana-mana sebab abang masih di sini sahaja!” balas bekas Putera Mahkota Nusantara, Putera Nusa Samudera Alaf.

Waktu itu, mereka saling menghadap dalam teratak kuning cair kecil yang berada di pinggir kota!

KISAH KETIGA : WASIAT UNTUK KEBAHAGIAAN

“A

bang tak ke mana-mana pun, dan abang masih di sini!” ujar Nusa Samudera Alaf sambil menghidangkan secangkir minuman panas kepada tetamunya yang tidak diundang dan tidak dijangka langsung.

“Apa yang abang fikirkan selama ni? Abang tak pedulikan ibu walaupun di saat paling akhir. Kalau abang sudah berada dekat dengan kami, kenapa abang tak menziarahi kami langsung, atau setidak-tidaknya kalau tidak mahu melihat kami semua, abang lihatlah ibu!”

Dasa meluahkan kekecewaannya kepada satu-satunya saudara rapatnya. Meskipun mereka tidak seibu dan sebapa, perhubungan mereka sangat baik dan rapat semasa tinggal bersama di teratak kecil itu dahulu dan di istana.

Sedekad yang lalu, permaisuri telah berwasiat kepada suaminya agar menyerahkan putera mereka kepada saudara kembarnya untuk diasuh dan dipelihara. Permaisuri itu kemudiannya mangkat dan selamat disemadikan.

Kemudiannya, Sultan Adi Kiasi pun mula memikirkan mengenai wasiat mendiang isterinya itu. Dek memikirkan putera tunggalnya itu masih memerlukan kasih sayang ibu dan baru berusia 6 tahun, maka baginda terpaksa mempertimbangkan semula wasiat tersebut.

“Tuanku, saudara kembar mendiang Permaisuri Istikrar Danu itu namanya Istikrar Nuraga. Beliau juga mempunyai paras rupa yang saling tak tumpah dengan mendiang permaisuri,” kata Menteri Bendahara Dar Maujud.

“Saling tak tumpah? Bagaimana dengan kelakuannya mamanda?”

“Sikapnya juga sama. Namun demikian, patik mendapati Istikrar Nuraga itu hidup dalam kesusahan, tuanku. Beliau hanyalah pengasuh kanak-kanak, tuanku. Beliau mempunyai seorang anak lelaki yang berumur lapan tahun, dan beliau… beliau ibu tunggal tuanku.”

Sultan terdiam lalu berfikir mengenai wasiat isterinya itu. Mengapa permaisuri hendak menyerahkan putera tunggal mereka kepada seorang insan yang hidup dalam kesusahan? Kenapa Istikrar Nuraga hidup susah? Bukankah mereka saudara kembar? Kenapa mendiang isterinya tidak mahu menolong saudara kembarnya itu?

“Beta harapkan pertolongan adinda untuk menjaga anakanda beta.” ujar Sultan Adi Kiasi kepada Istikrar Nuraga.

“Tuanku, patik cuma hamba biasa walaupun kembar dengan kekanda Danu. Namun begitu, disebabkan oleh ini wasiat kekanda, maka patik akan menjaga putera tuanku dengan sebaik-baiknya,”  balas Istikrar Nuraga.

Pengiring-pengiring istana membawa Putera Adi Dasa kepada sultan. Namun begitu, sebaik sahaja putera melihat seseorang yang dikenalinya sedang bersimpuh di hadapan sultan, tiba-tiba wajah putera bertukar ceria.

“Bonda!”

Anak kecil itu terus berlari mendapatkan Istikrar Nuraga. Pada pandangan anak kecil itu, dia sedang memeluk ibunya yang sebenarnya sudah tiada lagi di dunia yang fana ini. Dia memeluk perempuan yang dianggap ibunya itu sambil menangis tersedu-sedu. Apabila dipinta oleh pengiring-pengiring untuk melepaskan perempuan tersebut, anak kecil yang sudah sebulan tidak menemui bondanya itu enggan melepaskan bondanya itu. Seisi istana dihambat rasa sayu dan pilu melihat babak tersebut.

“Adinda Nuraga, beta berharap adinda sudi menetap di istana dan menjaga anakanda beta.”

Istikrar Nuraga terdiam dan memegang ubun-ubun Putera Adi Dasa. Lalu, dia melihat sultan.

“Tuanku, patik masih lagi belum bersedia untuk tinggal di sini. Patik juga mempunyai seorang anak lelaki yang masih memerlukan perhatian dan kasih sayang patik,” kata Istikrar Nuraga menegakkan pendiriannya.

Semenjak itu, Istikrar Nuraga tidak dipanggil lagi ke istana. Dia masih tinggal di teratak kecil. Dia masih menghantar anak kesayangannya ke sekolah hari-hari biasa. Namun begitu, pada suatu hari, dia menemui pengetua sekolah tempat anaknya belajar.

“Puan Nuraga, puan nak daftarkan siapa pula kali ni? Puan mengisi borang pendaftaran baru? Anak siapa puan? Budak pusat asuhankah?”

“Tak, saya nak daftarkan anak sayalah. Perkenalkan, anak saya yang kedua, adik Alaf, Dasa namanya.”

Seorang anak kecil yang berdiri di sisi Istikrar Nuraga sedang memerhatikan ibunya penuh kebimbangan.

“Ibu, Dasa takut…”

“Anak puan ke-2? Puan tak pernah cakap pun bahawa Alaf ni ada adik juga. Sama pula paras mereka. Macam kembar pula.”

“Kebetulan yang menakjubkanlah cikgu! Tapi anak saya ni kecil lagi. Tahun satulah dia. Jaga anak saya ni baik-baik ya cikgu. Saya kena pergi kerja lagi. Jadi…”

“Jadi puan serahkan kepada saya ye. Adik, jangan takut. Cikgu tak makan adik tau. Jom ikut cikgu. Nanti adik banyak kawan,” janji pengetua sambil menggenggam tangan anak kecil itu ke kelas.”


3 Respons

  1. I want the sequence of this story…

  2. Sila berikan komen penambahbaikan untuk cerita bersiri ini…😀

  3. Please,wanna sequence…. Tergantonglah,plis plis

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: