Pelangi Tersurat

Mimpi yang Sukar Dijelaskan

 

“Aaaaaa, buka mulut tu Lala…”

Lala pun membuka mulutnya, dan sudu yang mengandungi aiskrim berperisa coklat pun dimasukkan ke dalam mulutnya.

“Lala, sedapkan aiskrim ni. Nanti Teja cari pula perisa lain. Ok?”

Mulut Lala hanya mengukir senyum, tanpa menggangguk atau menggeleng dengan pernyataan tersebut. Matanya hanya memandang seorang insan sempurna fizikalnya, dengan wajah yang saling tidak tumpah dengannya. Insan itu sedang menikmati makanan kegemarannya dengan gembira.

“Lala! Tolong bawa adik masuk rumah! Nak masuk maghrib dah ni.” terdengar suara laungan yang memberi arahan kepada Lala.

Teja yang mendengar laungan dari dalam rumah, cepat-cepat menarik tangan Lala masuk ke dalam rumah. Teja tahu, kalau kakaknya lambat lagi masuk ke dalam rumah dengannya, alamatnya kena bebelan ibunya pula nanti.

Lala yang sudah masuk bersama-sama Teja pergi mengambil tuala untuk membersihkan diri di bilik air. Manakala si Teja pula cepat-cepat membentangkan sejadah untuk bersiap solat Maghrib berjemaah. Sementara Teja menunggu gilirannya untuk masuk ke bilik air, Teja termenung sambil memikirkan tindakan kakak kembarnya pada petang mereka bersama tadi. Teja perasan sesuatu yang tidak kena dengan Lala semenjak kakaknya pulang ke kampung kebelakangan ini. Lala sudah semakin kurus. Mukanya cengkung kerana bekerja kuat. Bahkan bukan itu sahaja, apabila Teja mengajak Lala makan aiskrim bersama-sama, Lala hanya makan sedikit sahaja aiskrim dengan Teja. Selalunya, apabila mereka makan bersama, mereka akan berbual dan ketawa dengan gembira, tetapi… tidak kali ini. Teja tertanya-tanya apa yang tidak kena dengan kakaknya.

“Teja! Lala dah keluar tu! Cepat ambil wuduk, mak pula lepas ni,” tegur seorang ibu kepada anaknya.

Selepas solat Maghrib dan Isyak bersama-sama, ibu Teja dan Lala iaitu Seri memanggil kedua-dua anaknya berkumpul di ruang tamu. Setelah mereka duduk di atas sofa dan mata mereka bertiga saling bertentang, Seri pun memulakan bicara.

“Teja, Teja perasan tak perubahan yang berlaku kepada kakak kamu ?”

Teja kehairanan. Kenapa tiba-tiba ibunya bertanya sedemikian?

“Ya mak, kebelakangan ini, Lala semakin kurus. Lala pun jarang ketawa atau pun bercakap lagi. Kenapa mak?”

Lala berdiri secara mendadak dan merenung tajam kepada Seri.

“Mak, tak perlu berkata apa-apa pun kepada Teja. Teja tak perlu tahu apa yang berlaku.”

Teja sangat terkejut dengan Lala yang tiba-tiba bercakap kasar kepada orang yang lebih tua, lebih-lebih lagi ibu kandung sendiri.

“Lala, kenapa Lala buat mak macam ni? Kenapa Lala perlu tengking mak?”

Lala tersedar mengenai tindakan agresifnya kepada ibu sendiri. Akhirnya dia melafazkan istighfar bagi memohon keampunan Ilahi.

“Tak apa Teja, kakak kamu ni sebenarnya sakit. Tapi sakit apa, dia tak mahu mak beritahu Teja kerana menurut Lala, penyakitnya tidak begitu kronik. Jangan marahkan kakak kamu ye Teja,” pujuk Seri kepada anak bongsunya itu. Malam itu pun terus berlalu dengan semua membawa diri ke kamar masing-masing.

“Lala, kenapa Lala sedih sangat ni?” soal Abang Nusa kepada Lala.

“Tak ada apa-apa pun.” jawab Lala ringkas.

Pada waktu petang yang indah permai, Lala dan Abang Nusa duduk bersebelahan di tepi sebatang sungai yang jernih warnanya. Pohon-pohon tumbuh merimbun, bergoyang-goyang mengikut rentak angin yang lalu. Lala tiba-tiba berasa terkejut kerana bertemu dengan Nusa, terus tersenyum melihat wajah lelaki yang disayangi.

“Abang Nusa, andai ini mimpi, Lala gembira kerana Allah mempertemukan kita walau hanya dalam mimpi,” ungkap Lala sambil tersenyum.

Nusa yang duduk melihat Lala dari tadi, terkejut mendengar luahan Lala.

“Bagaimana Lala boleh tahu ini mimpi, Lala jangan bergurau dengan Abang Nusa. Kita betul-betul jumpa ni.”

“Maaf ye Abang Nusa, perempuan dan lelaki ajnabi, walaupun mimpi, tidak boleh hanya duduk berdua sahaja, haram hukumnya Abang Nusa.”

Tiba-tiba, Nusa berasa malu dengan teguran seorang gadis kecil itu. Nusa yang berasa ego dan merasakan tindakannya yang dipertikaikan oleh seorang perempuan, tiba-tiba sahaja bangun dan cuba memegang tangan Lala.

“Maaf, Abang Nusa. Lala tak boleh terima Abang Nusa buat begini.”

 

Lala terus menepis tangan Nusa dan berganjak ke belakang. Nusa cuba mengejar Lala, tetapi Lala pula secara spontan melafazkan isti’azah dan takbir. Nusa yang mengejar Lala tiba-tiba terasa kaku dan …

“Apa benda yang halang aku tadi tu?” ujar Nusa selepas terjaga daripada tidurnya.

 

Sementara Lala pun terjaga pada waktu yang sama. Lala yang telah terjaga pada sebelum subuh terus mengambil wuduk untuk berqiamulail.

 

Selepas solat sunat tahajud, Lala pun teringat dengan peristiwa seminggu sebelum itu.

“Biarlah aku diam sehingga persoalan itu menjadi angin yang lalu. Aku penat untuk menjelaskan dan terus dihukum oleh pandangan individu. Kalau kalian tidak mahu menjadi penyokong mahupun pendokong, jangan pula berseronok untuk terus menghukum… ” kata Lala dengan tegas bagi menangkis dakwaan rakan sekerjanya bahawa dia telah mengamalkan diet keterlaluan untuk kurus.

Al-kisahnya …

______________________________

Bahagian 1 : Indah Pertemuan Itu

Aku tidak pasti di mana aku berpijak sekarang. Tempat ini seolah-olah mesra dengan diriku. Aku bagaikan sudah lama di sini. Aku kehilangan idea. Kenapa aku duduk mencangkung sambil memegang gunting rumput, lagak orang sedang memotong rumput, di tempat yang tidak pernah aku datang? Aku kurang mengerti. Aku memandang persekitaran. Rupa-rupanya, halaman rumah tempatku berpijak. Namun demikian, aku masih kurang mengerti mengapa aku di situ. Alang-alang aku sedang memotong rumput, aku pun menyambung kembali kerja aku. Aku berasa pelik, tetapi lagi pelik apabila aku tanpa sebarang protes melakukan sahaja kerja itu.

Tatkala aku melayan perasaan, tiba-tiba terdengar suara yang memanggil namaku. Suara yang sangat aku kenal.

“Lala oh Lala.”

Lala memanglah nama panggilanku, aku tidak pelik dengan bagaimana aku dipanggil, cuma suara yang memanggil itu, suara yang rendah, tidak nyaring bunyinya, tidak serak-serak basah, tidak mendatar, sedap didengar, namun suara itu memang unik, jarang kedengaran pada orang lain. Dan aku sedar, bahawa orang yang memanggil itu, berada di hadapan aku. Aku pun mendongakkan kepala, tanpa aku berdiri aku melihat orang yang memanggilku. Aku tersenyum.

“Ha? Abang Nusa! Ni Abang Nusa kan? Buat apa abang kat sini?”

Aku kehairanan kerana Abang Nusa boleh berada di sini tanpa dijangka.

“Lala ni, ni kan rumah abang, Lala yang dah lama tinggal kat sini terlupakah? Atau pun, Lala cuba berdrama pula kat sini?”

“Eh, taklah. Mana ada abang, heheheh.”

Aku cuba mengelak persoalan Abang Nusa sebaik mungkin kerana aku pun tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Apabila Abang Nusa berada di hadapan aku, aku tidak boleh mengelakkan diri daripada tersenyum sehingga ke telinga, hati terasa berbunga-bunga ketika itu.

Abang Nusa yang pada mulanya kehairanan melihat telatah aku, akhirnya ketawa.

“Hai, macam-macamlah Lala ni. Lala, jom naik motosikal petang ni. Kita pergi makan angin.”

Aku yang terlampau seronok dan tanpa berfikir panjang pula menerima pelawaannya.

“Lala, abang masuk dulu rumah, kejap lagi kita keluar. Lala pun ye.”

Aku sangat seronok menerima pelawaan Abang Nusa. Sebelum ini, kalau kami berjumpa,aku sukar untuk berkata-kata. Tetapi, kali ini berbeza kerana Abang Nusa yang memulakan perbualan dahulu.

Tengah aku menunggu Abang Nusa keluar dari rumah sambil tersenyum-senyum, tiba-tiba ada bunyi yang menjerit di telinga aku.

“Ringgggg!!!!!”

Aku terkejut. Aku melihat sekeliling sudah bertukar rupa dan warna. Gelap. Rupa-rupanya, aku bermimpi. Aku terkilan dengan bunyi jam loceng ini. Alangkah baiknya kalau mimpi ini berterusan…

Pada dinihari, aku tunaikan kewajipan. Selepas itu, disusuli dengan zikir Al-Matsurat. Usai pembacaan zikir, aku duduk di atas katil sambil melipat selimut dan menyusun bantal-bantal yang berselerak. Sambil itu, aku teringat kembali mimpi yang baru berlaku. Pasti mainan syaitan dan perasaan. Mungkin juga kerana aku terlupa mengambil wuduk sebelum tidur. Salah aku juga. Tetapi, perasaan suka kepada Abang Nusa memang benar, cuma aku kuburkan sekian lama dan perasaan itu aku hampir terlupa. Mimpi tinggal mimpi. Realiti merupakan lawan mimpi yang kejam. Aku mengucapkan istighfar kerana takut melalaikan Allah SWT dan mekukan perkara yang tidak sepatutnya. Aku tidak lupa bersyukur kerana dengan izin-Nya, aku mendapat mimpi yang gembira dan masih dibangkitkan untuk hari ini untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: