Pengucapan Awam : Kemahiran Luar Biasa untuk Orang Biasa

Penulis : Nor Syuhada Binti Che Khalid
Institusi : Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Jurusan : Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepintaran Buatan)
Tarikh : 8 Disember 2011

Pengucapan awam ini bukanlah layak yang sebenarnya untuk saya kupas kerana saya bukanlah individu yang memegang sekurang-kurangnya PhD, master mahupun ijazah dalam bidang ini. Namun demikian, perkongsian ini saya cetuskan jua kerana saya menganggap tidak salah untuk menghebahkan perkara yang sepatutnya memberi pulangan yang paling memberangsangkan kepada bakal-bakal jurutera, programmer, ahli-ahli teknikal dan teknologi, ahli akademik, mahupun usahawan. Pandangan saya ini tidaklah sama sekali cuba menyaingi peranan Pejabat Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mahupun Pusat Bahasa & Pembangunan Insan (PBPI) yang sangat gigih berusaha melahirkan mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka yang sangat kompeten dalam menguasai salah satu teras penting Kemahiran Insaniah (KI) yang telah pun digariskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pertama sekali, apakah itu pengucapan awam? Pengucapan awam merupakan satu garapan sains kemanusiaan dan seni bujukan yang diterjemahkan dalam bentuk komunikasi berkesan dan menarik [1]. Dengan bahasa mudahnya iaitu teknik dan seni komunikasi yang berkesan semasa berucap. Contohnya, apa perbezaan semasa berucap di hadapan khalayak penonton dan berbual dengan kawan-kawan? Perbezaan yang paling jelas ialah dengan siapa dan di mana kita berkomunikasi. Oleh sebab itu, teknik dan seni berucap dan berbual kosong pasti mempunyai perbezaan, walaupun asasnya sama iaitu komunikasi.

Kedua, mengapakah saya sebagai pelajar biasa menggalakkan pelajar-pelajar UTeM terutamanya menguasai teras KI ini? Dalam artikel Top 10 Qualities of a Great Engineer [2], kualiti ke-3 untuk menjadi seorang jurutera yang hebat ialah mempunyai skil komunikasi yang bagus. Menurut Jeff Atwood dalam blog beliau Coding Horror melalui How to Write Without Writing [3], perbezaan programmer biasa dan programmer hebat bukannya sebanyak mana bahasa programming yang anda tahu mahupun bahasa programming yang dikuasai, tetapi yang paling penting ialah skil komunikasi yang serius iaitu kebolehan untuk menyampaikan idea secara berkesan. Konklusi mudah yang dapat kita capai di sini ialah tidak mahu tidak kita sebagai bakal tenaga kerja dalam apa jua bidang perlu menguasai skil komunikasi yang berkesan bagi memastikan kita bakal menjadi tenaga kerja yang kompeten. Belajar penting, tetapi aplikasi selepas tempoh pembelajaran lagi penting yang bakal mencorakkan posisi kita sama ada kita merupakan tenaga kerja biasa mahupun tenaga kerja yang hebat sama ada untuk menghadapi temu duga, berbincang untuk menyelesaikan masalah, membentangkan konsep dengan klien dan bos, dan menjawat jawatan yang bagus dalam syarikat.

Ketiga, apakah kelebihan pengucapan awam? Pengucapan awam memberikan skil penyampaian komunikasi yang berkesan melalui teknik-teknik tertentu. Contohnya, menyampaikan maklumat pengikut fokus acara seperti ceramah, syarahan, dan perbentangan, mempunyai pengetahuan tentang perkara yang hendak disampaikan, peka dengan latar belakang dan situasi semasa hadirin, dan mempunyai skil-skil asas pengucapan awam seperti persediaan dan latihan sebelum berucap, mengatasi rasa gementar atau gemuruh, berupaya untuk mempengaruhi dan memujuk hadirin, kebolehan untuk respon secara spontan dengan soalan hadirin, dan berucap melihat mata hadirin [4]. Elemen-elemen yang menjadi kelebihan para pengucap ini menjadikan graduan-graduan yang menceburi pengucapan awam lebih ke hadapan berbanding yang tidak menguasai kemahiran ini. UTeM sendiri misalnya, melahirkan graduan-graduan yang pernah menceburi bidang pengucapan awam semasa belajar dahulu seperti pidato dan debat mempunyai pekerjaan yang baik dan stabil.

Akhir kalam, kemahiran pengucapan awam ini jangan kita pandang enteng. Kemahiran ini sahaja, mampu memberikan perbezaan yang sangat besar antara graduan-graduan yang sudah menjadi tenaga kerja. Sudah terang lagi bersuluh, kita pasti akan terpesona dengan sesiapa sahaja yang mampu menguasai kemahiran ini. Tetapi, kita perlu ingat bahawa kemahiran luar biasa ini bukan hanya untuk orang-orang tertentu sahaja, bahkan untuk pelajar-pelajar yang berani menyahut cabaran universiti. Maka, saya menyeru agar kita semua merebut peluang yang ada contohnya melalui kelas kokurikulum Pidato mahupun pertubuhan pelajar yang ada iaitu Kelab Debat & Pidato yang menyediakan latihan dan program-program yang khusus untuk memperkasa teras KI universiti yang penting ini. Semoga usaha murni bakal melahirkan tenaga kerja yang hebat dan kompetitif, sesuai dengan moto UTeM iaitu Kompetensi Teras Kegemilangan.

[1] Teras Pengucapan Awam. http://www.unimap.edu.my/template02.asp?tt=54&contentid=1287
[2] Top 10 Qualities of a Great Engineer. http://www.engineeringschools.com/engineering-top-10.html
[3] How to Write Without Writing. http://www.codinghorror.com/blog/2011/02/how-to-write-without-writing.html
[4] Teknik pengucapan awam. http://mindataqwa.blogspot.com/2009/04/teknik-pengucapan-awam.html

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: