Pelangi Tersurat Bahagian 1

Indah Pertemuan Itu

Aku tidak pasti di mana aku berpijak sekarang. Tempat ini seolah-olah mesra dengan diriku. Aku bagaikan sudah lama di sini. Aku kehilangan idea. Kenapa aku duduk mencangkung sambil memegang gunting rumput, lagak orang sedang memotong rumput, di tempat yang tidak pernah aku datang? Aku kurang mengerti. Aku memandang persekitaran. Rupa-rupanya, halaman rumah tempatku berpijak. Namun demikian, aku masih kurang mengerti mengapa aku di situ. Alang-alang aku sedang memotong rumput, aku pun menyambung kembali kerja aku. Aku berasa pelik, tetapi lagi pelik apabila aku tanpa sebarang protes melakukan sahaja kerja itu.

Tatkala aku melayan perasaan, tiba-tiba terdengar suara yang memanggil namaku. Suara yang sangat aku kenal.

“Lala oh Lala.”

Lala memanglah nama panggilanku, aku tidak pelik dengan bagaimana aku dipanggil, cuma suara yang memanggil itu, suara yang rendah, tidak nyaring bunyinya, tidak serak-serak basah, tidak mendatar, sedap didengar, namun suara itu memang unik, jarang kedengaran pada orang lain. Dan aku sedar, bahawa orang yang memanggil itu, berada di hadapan aku. Aku pun mendongakkan kepala, tanpa aku berdiri aku melihat orang yang memanggilku. Aku tersenyum.

“Ha? Abang Nusa! Ni Abang Nusa kan? Buat apa abang kat sini?”

Aku kehairanan kerana Abang Nusa boleh berada di sini tanpa dijangka.

“Lala ni, ni kan rumah abang, Lala yang dah lama tinggal kat sini terlupakah? Atau pun, Lala cuba berdrama pula kat sini?”

“Eh, taklah. Mana ada abang, heheheh.”

Aku cuba mengelak persoalan Abang Nusa sebaik mungkin kerana aku pun tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Apabila Abang Nusa berada di hadapan aku, aku tidak boleh mengelakkan diri daripada tersenyum sehingga ke telinga, hati terasa berbunga-bunga ketika itu.

Abang Nusa yang pada mulanya kehairanan melihat telatah aku, akhirnya ketawa.

“Hai, macam-macamlah Lala ni. Lala, jom naik motosikal petang ni. Kita pergi makan angin.”

Aku yang terlampau seronok dan tanpa berfikir panjang pula menerima pelawaannya.

“Lala, abang masuk dulu rumah, kejap lagi kita keluar. Lala pun ye.”

Aku sangat seronok menerima pelawaan Abang Nusa. Sebelum ini, kalau kami berjumpa,aku sukar untuk berkata-kata. Tetapi, kali ini berbeza kerana Abang Nusa yang memulakan perbualan dahulu.

Tengah aku menunggu Abang Nusa keluar dari rumah sambil tersenyum-senyum, tiba-tiba ada bunyi yang menjerit di telinga aku.

“Ringgggg!!!!!”

Aku terkejut. Aku melihat sekeliling sudah bertukar rupa dan warna. Gelap. Rupa-rupanya, aku bermimpi. Aku terkilan dengan bunyi jam loceng ini. Alangkah baiknya kalau mimpi ini berterusan…

Pada dinihari, aku tunaikan kewajipan. Selepas itu, disusuli dengan zikir Al-Matsurat. Usai pembacaan zikir, aku duduk di atas katil sambil melipat selimut dan menyusun bantal-bantal yang berselerak. Sambil itu, aku teringat kembali mimpi yang baru berlaku. Pasti mainan syaitan dan perasaan. Mungkin juga kerana aku terlupa mengambil wuduk sebelum tidur. Salah aku juga. Tetapi, perasaan suka kepada Abang Nusa memang benar, cuma aku kuburkan sekian lama dan perasaan itu aku hampir terlupa. Mimpi tinggal mimpi. Realiti merupakan lawan mimpi yang kejam. Aku mengucapkan istighfar kerana takut melalaikan Allah SWT dan mekukan perkara yang tidak sepatutnya. Aku tidak lupa bersyukur kerana dengan izin-Nya, aku mendapat mimpi yang gembira dan masih dibangkitkan untuk hari ini untuk menunaikan tanggungjawab sebagai hamba.

Tinggalkan komen